Tel: 065561221 Fax: 065561223 Email:ppkidag1@gmail.com



Lawatan ke Aquaria KLCC & Putrajaya

Tarikh : 27 Julai 2010
Masa : 8.00 pagi – 6.00 petang
Tempat : Pusat Aquaria KLCC & Putrajaya

Lawatan ini merupakan satu kerjasama dengan kelas Prasekolah SKAG 1 yang telah dirancang sejak beberapa bulan yang lalu. Seramai 7 orang murid kelas Disleksia menyertai lawatan ini dengan diiringi oleh En. Mohd Salmi bin Ramli, Pn. Norliyana bt Sukimin, Pn. Rosmaini bt Sulaiman dan Cik Norbaizura bt Abu Adam. Murid Prasekolah pula seramai 13 orang dengan diiringi En. Mohd Maizon bin Waham dan Cik Azura bt Mohamed.

Rombongan dengan menaiki bas ini telah bertolak dari SKAG 1 pada pukul 8.30 pagi dan tiba di KLCC pada jam 10.30 pagi. Sebelum masuk ke Pusat Aquaria, semua guru dan murid telah berjalan-jalan sambil melihat keadaan di dalam KLCC. Pada jam 11.00 pagi, kami masuk ke Pusat Aquaria. Mula-mula sekali, kami telah diberi peluang untuk menyentuh dengan tangan sendiri hidupan marin seperti ikan keli, belangkas, tapak sulaiman dan gamat yang diletakkan di dalam bekas DNA.


Selepas itu kami melihat haiwan dan serangga liar seperti ular air, rama-rama, kalajengking, katak dan lain-lain yang dipamerkan di dalam peti kaca. Seterusnya, kami melihat belut yang boleh menghasilkan cas elektrik, ikan keli gergasi dan pelbagai spesis ikan air masin. Kemudian, kami masuk ke bahagian yang mempunyai laluan pejalan kaki yang bergerak sambil kami melihat pelbagai hidupan dasar laut, penyu dan pelbagai jenis ikan seperti pari, jerung, keli, bawal cermin dan banyak spesis lagi yang berwarna-warni.


Tepat jam 12.00 tengah hari, kami berpeluang menyaksikan 2 orang penyelam profesional memberi makan kepada ikan-ikan. Murid-murid berasa sangat teruja apabila menyaksikan penyelam memberi makanan kepada ikan pari gergasi seberai 120 kilogram yang bernama ‘Kudsia’. Mengakhiri pertunjukan itu, penyelam tersebut memberi makanan kepada penyu lipas yang terkenal dengan spesisnya yang terbanyak di Malaysia.

Jam menunjukkan pukul 12.45 tengah hari dan perut mula berkeroncong. Setelah membeli cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan, kami pun menaiki bas semula untuk ke Putrajaya. Kami menikmati hidangan makan tengah hari di sebuah restoran di Putrajaya. Setelah mengisi perut, kami mula menjelajahi setiap perosok Putrajaya dengan menaiki bas. Kami berasa begitu kagum dengan seni bina dan lanskapnya yang cantik. Kemudian, kami singgah di Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan sempat bergambar di sana. Selepas itu kami ke Masjid Putrajaya untuk menunaikan solat Zohor dan menyegarkan badan.

Setelah bergambar di perkarangan masjid, kami pun bertolak pulang ke SKAG 1 pada jam 4.00 petang. Walaupun keletihan, semua murid dan guru berasa sangat seronok. Kami tiba di sekolah pada jam 6.00 petang. Kami berharap dapat mengikuti lawatan ke tempat-tempat menarik yang lain pula pada masa akan datang.

1 comment:

  1. penat memang penat..tp sgt menyeronokkan..ujung taun ni, nak ke Kelate plak ye Cikgu Salmi???hehheh

    ReplyDelete