Tel: 065561221 Fax: 065561223 Email:ppkidag1@gmail.com



SEJARAH

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

      PPKI Disleksia mula ditubuhkan di Sekolah Kebangsaan Alor Gajah 1 pada 2 Januari 2008. Pada waktu itu kelas yang masih belum mempunyai murid itu ditempatkan di dewan sekolah memandangkan tiada bilik / kelas yang kosong. Kelas ini dikendalikan oleh En. Mohd Salmi bin Ramli selaku Penyelaras dan Pn. Norliyana bt Sukimin. Pada peringkat awal, guru-guru ini menjalankan ujian-ujian kepada murid-murid yang berkemungkinan menghidap Disleksia. Selain di SKAG 1, mereka juga telah ke sekolah-sekolah berhampiran untuk mencari murid-murid Disleksia.
     
      Pada 3 Mac 2008, kelas ini dengan rasminya menerima murid Disleksia seramai 4 orang yang terdiri daripada 3 orang murid lelaki dan seorang murid perempuan. Proses pengajaran dan pembelajaran masih diteruskan di dewan. Murid-murid akan datang ke dewan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik mengikut jadual waktu masing-masing.

      Pada bulan Mei 2008, Pn. Nazila Bt Ahmad Nazir telah melapor diri sebagai Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Selepas itu, kelas PPKI telah berpindah dan beroperasi di Kelas Pemulihan untuk keselesaan murid.

      Setelah lama menunggu, pada bulan Julai 2008, kerja-kerja mengubahsuai dewan untuk dijadikan kelas PPKI Disleksia telah dimulakan. Pada masa itu, kelas PPKI masih lagi menumpang di Kelas Pemulihan. Pada penghujung bulan Ogos, menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Negara, kelas PPKI Disleksia yang baru telah siap diubahsuai. Kelas ini telah digunakan dengan rasminya pada bulan September 2008.

      Pada sesi persekolahan 2009, bilangan murid telah bertambah seramai 6 orang. Bilangan murid lelaki seramai 4 orang dan murid perempuan seramai 2 orang. Oleh kerana bilangan murid telah bertambah, mata pelajaran yang diajar hanyalah Bahasa Melayu. Mata pelajaran Matematik diajar secara inklusif di kelas aliran perdana.

        Setelah 2 tahun beroperasi, pada sesi persekolahan tahun 2010, seorang guru Matematik telah ditempatkan di PPKI Disleksia. Beliau ialah Pn. Rosmaini bt Sulaiman yang memiliki Diploma Pendidikan dalam bidang Matematik. Selang sebulan, seorang Guru Tambahan Pendidikan Islam (GTPI) pula melapor diri. Ustazah Latifah bt Ibrahim akan berkhidmat secara kontrak selama setahun. Selain mengajar di kelas PPKI Disleksia, beliau turut mengajar di kelas Prasekolah.

      Bilangan murid turut bertambah dengan kehadiran 4 orang murid Tahun 2. Jumlah murid terkini adalah seramai 10 orang terdiri daripada 7 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Pada bulan Julai 2010, Cik Norbaizura bt Abu Adam telah memulakan tugas sebagai PPM menggantikan Pn. Nazila bt Ahmad Nazir yang berpindah ke SMK Seri Pengkalan. Ini menjadikan ’keluarga PPKI Disleksia’ bertambah besar dan ceria. Banyak aktiviti boleh dijalankan dengan jayanya hasil paduan tenaga dan kreativiti guru, PPM dan murid-murid Disleksia ini.